Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan, angin kencang dan keadaan laut bergelora di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah dan Labuan ketika ini dijangka berterusan sehingga 17 Januari ini.
Dalam kenyataannya jabatan itu berkata, keadaan angin timur laut, yang bertiup selaju 50-60 km/jam dengan ombak hingga setinggi 4.5 meter itu, berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk perkhidmatan feri dan penangkapan ikan selain memaklumkan paras laut di kawasan pesisir Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur berkemungkinan meningkat.
Dalam pada itu, jabatan itu juga mengeluarkan amaran bahawa angin kencang dan keadaan laut yang bergelora di perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan serta di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Kuching, Labuan dan Sulu akan berterusan sehingga 17 Januari.