Jajaran projek Lebuh raya Pantai Timur (LPT) dari Persimpangan Cheneh hingga ke Persimpangan Kijal sepanjang 29km akan dibuka kepada laluan awam mulai Jumaat.Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembukaan jajaran itu akan memberi keselesaan kepada pengguna serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim cuti sekolah.
"Pembukaan jajaran ini telah memberi kemudahan penjimatan kos dan masa bagi pengguna bagi pengguna lebuhraya itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebahagian jajaran LPT2 dari Persimpangan Kuala Terengganu hingga ke Persimpangan Paka, dan dari Persimpangan Jabor hingga ke Persimpangan Cheneh sepanjang 130km telah dibuka sejak 22 Ogos 2011 sehingga 21 Julai 2014.Fadillah berkata, LPT2 sepanjang 184km merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.